Sunday, 4 May 2014

Isu teknologi - Penyalahgunaan Internet

Langkah-langkah mengatasi masalah penyalahgunaan internet


Hari ini, internet merupakan salah satu media yang paling utama dan paling penting. Internet boleh dikatakan menjadi sumber rujukan utama bagi sesetengah pihak untuk mengetahui tentang isu-isu semasa tempatan dan juga luar negara. Tidak dinafikan juga bahawa internet merupakan salah satu media hiburan utama bagi remaja-remaja dan juga golongan dewasa. Namun begitu, terdapat juga segelintir pihak yang telah menyalahgunakan kemudahan internet ini. Kemudahan internet telah disalahgunakan dengan dijadikan media atau sumber untuk melawat ke laman web pornografi dan juga digunakan sebagai medium untuk penyebaran fitnah yang makin berleluasa. 

Sebagai langkah berjaga-jaga sekaligus untuk mengelakkan masalah ini kian bermaharajalela di kalangan remaja dan kanak-kanak terutamanya, beberapa langkah mengatasi haruslah diambil dengan kadar segera. Pendekatan haruslah diambil melalui pencegahan di rumah dan juga di sekolah. Di rumah, ibu bapa haruslah memantau aktiviti internet anak-anak mereka. Memandangkan internet telah menjadi keperluan utama, melarang mereka daripada menggunakan internet amatlah tidak wajar. Namun, langkah-langkah pemantauan amatlah berkesan dalam mengatasi masalah ini. 

Selain itu, di sekolah juga pemantauan juga haruslah dilakukan oleh guru-guru yang bertugas , memandangkan proses pembelajaran dan pengajaran pada masa ini banyak menggunakan internet. Selain itu, nilai-nilai murni juga wajar diterapkan di dalam minda remaja-remaja bagi mengelakkan masalah ini daripada bertambah teruk. Selain itu juga, mengehadkan penggunaan internet juga merupakan salah satu langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini. Penggunaan internet boleh dilakukan dengan mengehadkan masa penggunaan atau mengehadkan jenis laman web yang boleh dilawati. Had penggunaan ini boleh dilakukan di rumah, di sekolah, dan di pusat siber kafe. 

Had penggunaan internet wajar dilakukan kepada kanak-kanak di bawah umur bagi mengelakkan kerosakan moral anak-anak remaja kita. Di samping itu juga, pengehadan penggunaan internet juga boleh membendung golongan bawah umur daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Penggunaan perisian internet yang dapat menyekat akses ke laman web yang tidak bermoral ini juga merupakan salah satu langkah yang amat efisien dalam usaha untuk mengurangkan masalah ini. 

Penggunaan perisian ini sewajarnya telah diketahui umum kerana ianya merupakan salah satu jalan yang paling baik dalam mengelakkan masalah penyalahgunaan internet. Perisian ini wajar digunakan di institusi-institusi pengajian tinggi dan pejabat-pejabat besar. Perisian ini mampu menghalang akses ke laman web yang tidak bermoral ini. Sebagai kesimpulan, masalah penyalahgunaan internet ini wajar dibendung kerana ia akan merosakkan moral muda-mudi dan remaja kita. Justeru, langkah-langkah pencegahan seperti yang disebutkan di atas amatlah wajar dilaksanakan.